Confucius atau K’ung-fu-tzu, pemikir dan ahli falsafah Cina yang hidup pada zaman 551 – 479 sebelum Masihi mempunyai ramai murid yang belajar daripadanya. Salah seorang murid kesayangannya bernama Yan Hui. Yan Hui mempunyai jawatan tinggi dalam kalangan komuniti Confucius.
Suatu hari Yan Hui lalu di sebuah kedai kain dan terdengar seorang pelanggan sedang bertekak dengan penjual kain. Pembeli berteriak “ 3 x 8 jumlahnya 23 ! Kenapa awak cakap 24 !”
Yan Hui cuba mendamaikan dan membetulkan keadaan, mendekati pembeli kain dan berkata : “Saudara, 3 x 8, jumlahnya 24, semua orang tahu. Tak payahlah gaduh-gaduh lagi…”
Pembeli kain yang sedang marah menuding jari ke muka Yan Hui dan berkata “Siapa yang minta pendapat engkau? Kalau nak minta pendapat, minta daripada Confucius. Benar atau salah biar Confucius yang tentukan.”
“Baiklah, kalau Confucius kata awak salah, macam mana?” tanya Yan Hui.
“Kalau Confucius kata saya kalah, pancung kepala saya. Kalau awak yang salah pula macam mana?” Pelanggan sanggup mengambil risiko penuh keyakinan atas rasa kemarahan.
“Kalau saya salah, saya letak jawatan dan awak ambil alih jawatan saya.”
Keduanya sepakat atas pertaruhan tersebut, lalu sama-sama berjumpa Confucius.
***
Confucius mendengar dengan teliti pergaduhan mereka berdua. Alangkah terkejutnya Yan Hui apabila Confucius mentertawakannya dan berkata,
“Betullah 3 x 8 = 23. Yan Hui, kamu kalah ! Berikan jawatan kamu kepada lelaki ini…”
Sebagai murid, Yan Hui tidak mahu berdebat dengan gurunya. Dengan akur dia menanggalkan topi yang melambangkan jawatannya lalu diserahkan kepada lelaki tersebut, namun dia tidak puas hati. Pelanggan kain menerima topi dan jawatan tersebut, kemudian dia berlalu.
Oleh sebab hati terluka, Yan Hui mengambil cuti atas alas an masalah keluarga. Confucius yang faham perasaan anak murid kesayangannya meluluskan cutinya. Sebelum Yan Hui pergi, Confucius berpesan kepada Yan Hui.
“Kalau hujan lebat,
janganlah berteduh di bawah pokok.
Dan apa pun yang berlaku, jangan membunuh.”
Dalam perjalanan angin kencang berserta guruh dan kilat diikuti hujan yang sangat lebat. Yan Hui mencari tempat berteduh, Nampak sebatang pokok tetapi tiba-tiba teringat nasihat gurunya dan mengambil keputusan untuk tidak berlindung di bawah pokok itu. Tidak lama selepas meninggalkan tempat tersebut, pokok tadi dipanah petir. Betullah pesanan guru, desis hati Yan Hui.
Yan Hui sampai di rumah lewat malam dalam keadaan basah kuyup dan rasa mendongkol di dalam hati. Dalam keadaan gelap, dia masuk ke dalam bilik tidur dan mendekati katil. Kemarahannya memuncak apabila tangannya merasakan ada seseorang yang berbaring di sebelah isterinya. Tanpa berfikir panjang, Yan Hui menghunus pedang dengan perasaan marah. Ketika Yan Hui mengangkat pedang, nasihat Confucius supaya jangan membunuh terngiang di telinganya. Yan Hui bertenang, menyalakan pelita dan menyelidik siapa yang berbaring di sebelah isterinya. Ternyata yang tidur di samping isterinya adalah adik iparnya yang datang bertamu.
***
Tanpa berlama-lama, keesokan pagi Yan Hui berjumpa Confucius, berlutut dan bertanya. Melihat muridnya sudah mula belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut, Confucius menjelaskan sudut pandangannya dalam persoalan yang dikemukakan.
“Saya tahu kamu mengambil cuti bukan kerana urusan keluarga tetapi hendak berhenti belajar denganku.”
“Panasnya cuaca semalam, itu petanda hujan petir akan berlaku. Pokok dipanah petir adalah perkara biasa. Sebab itu aku mengingatkan engkau menganai perkara itu. Semalam kamu pergi dengan perasaan marah yang terpendam di dalam hati dan kamu membawa pedang. Maka aku mengingatkan supaya kemarahan yang membahang dalam hatimu tidak akan membuatmu melakukan sesuatu yang akan kamu kesali.”
“Cuba fikirkan lebih
mendalam. Semalam aku mengeyakan 3 x 8 = 23
dan kamu kalah lalu kehilangan jawatanmu. Tetapi jika aku katakan
Yan Hui tertunduk. Belajar ilmu dan menjadi bijaksana dalam mengamalkannya adalah dua perkara yang berbeza. Hati kecilnya mula sedar dan akur bahawa banyak lagi yang perlu dipelajari dan difahami mengenai hakikat kehidupan. Ada ‘kebenaran’ yang lebih tinggi daripada sekadar logik matematik.
Sumber : Buku Odyssey Segumpal Hati
karya Sofiyah Satuyah Rasin





